Kritikan Sastera (Cerpen)
[Dalam
Pelukan Wanita Sedar (1947) - Keris Mas]
PENGKRITIK : NURAISHA FAZILAH
Latar Belakang Keris Mas
Keris Mas atau nama penuhnya Kamaluddin Muhamad adalah merupakan seorang tokoh
dalam bidang penulisan dan kesusasteraan yang pertama kalinya dianugerahkan
gelaran ‘Sasterawan Negara’. Beliau menerima anugerah tersebut pada 26 April
1981 di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen. Kamaluddin Muhamad (Keris Mas) telah
dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong Pahang. Dia menerima
pendidikan di Sekolah Melayu Bentong, Tawalih School, Sumatera, Kolej
Kulliahtul Muallimin Al-Islamiah, Sumatera dan Pitman College, Singapura. Dalam
bidang penulisan dia juga menggunakan nama pena Keris Mas, Aku, K.M. Kamal,
Kamaluddin M. dan Mister X. Beliau menghasilkan banyak novel dan cerpen
antaranya ‘Dalam Pelukan Wanita Sedar’. Beliau telah meninggal dunia pada tahun
1992 ketika usianya 70 tahun.
Sinopsis Ringkas Cerpen
Cerpen karya Keris Mas yang bertajuk ‘Dalam Pelukan Wanita Sedar’ menceritakan
kisah seorang pemuda melayu yang menaruh hati terhadap seorang wanita yang juga
tinggal di kampung yang sama dengannya. Disebabkan terlalu mencintai wanita
tersebut, pemuda itu mempunyai suatu ‘penyakit’ yang tidak dapat disembuhkan
melainkan dia menyatakan perasaan cintanya kepada wanita terbabit. Atas nasihat
kawan baik pemuda itu, dia mengirimkan sepucuk surat kepada wanita yang
dicintainya untuk menyatakan perasaannya yang selama ini terpendam. Tetapi
malangnya cinta pemuda itu ditolak kerana wanita itu lebih mencintai bangsa dan
negara disebabkan dia berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu bersama
wanita-wanita lain dalam Angkatan Wanita Sedar. Pemuda itu akhirnya membawa
diri ke Singapura untuk mendapatkan pekerjaan selepas cintanya ditolak. Di
Singapura, orang putih telah melakukan penindasan terhadap pekerja-pekerja dan
pemuda inilah yang telah mengetuai mogok dalam cubaan untuk menghentikan
penindasan ini. Setelah mengetahui Angkatan Wanita Sedar akan berkongres di
Singapura pemuda itu tidak sabar menemui wanita yang tetap dicintainya walaupun
cintanya pernah ditolak. Namun, dia mendapat pengkhabaran bahawa wanita itu
telak menarik diri daripada perjuangan itu. Pemuda itu pun pulang ke kampung
dan berjumpa dengan wanita itu untuk megetahui sebab wanita itu menarik diri
daripada persatuan tersebut. Wanita itu menyatakan biarlah dia menjadi
‘pejuang’ di belakang pemuda itu sebagai suri rumah tangga yang selalu
menyokong perjuangan pemuda itu untuk menentang penjajah setelah mengetahui
pemuda itu mengetuai mogok tersebut ketika di Singapura.
Cerpen yang ditulis oleh Keris Mas ini dihasilkan sebelum Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan. Suasana latar tempat yang digambarkan oleh penulis menunjukkan
suasana atau keadaan penduduk Tanah Melayu yang ketika itu sibuk dan berusaha
menyertai pelbagai kongres dan persatuan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah
Melayu. Tidak terkecuali juga penulis telah mengangkat peranan wanita pada
ketika itu yang turut bersama kaum lelaki memperjuangkan kemerdekaan negara.
Cerpen yang dihasilkan oleh penulis sangat dekat dengan pemuda dan pemudi pada
masa tersebut kerana ia bertemakan percintaan dan perjuangan. Seorang wanita
yang terpaksa melepaskan seorang jejaka yang dicintainya demi perjuangan yang
diinginkannya iaitu terhapusnya kelas-kelas dalam masyarakat sosial. Penulis
juga menceritakan keadaan ekonomi masyarakat melayu yang sangat miskin di
kawasan pedalaman seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang serta anak-anak
muda yang terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan bagi
menampung kehidupan. Turut tidak ketinggalan, penulis menggambarkan keadaan
sebenar penjajah iaitu orang putih yang memperhambakan orang-orang yang bekerja
dengan mereka sebagai kuli dan memberikan gaji yang rendah dan tidak
bersesuaian dengan kerja yang diberikan. Penulis begitu terkesan dengan sikap
penjajah yang berat sebelah dan tidak memberikan keadilan yang sewajarnya
sedangkan merekalah yang mengambil negara orang lain secara tipu daya dan
berlagak sebagai pemilik sebenar. Selain itu, bahasa yang digunakan oleh Keris
Mas sangat mudah difahami oleh seluruh lapisan masyarakat walaupun terdapat
beberapa perkataan yang digunakan daripada bahasa melayu klasik yang mungkin
sukar difahami oleh anak muda masa kini. Penulis berjaya menghidupkan imaginasi
pembaca dengan kepintaran penulis menguasai teknik-teknik tertentu untuk
menggambarkan sesuatu keadaan. Penulis juga cuba menarik perhatian pembaca
terhadap masalah ekonomi dan sosial yang dihadapi masyarakat Tanah Melayu pada
ketika itu. Secara keseluruhannya, cerpen yang dihasilkan oleh Keris Mas telah
diolah dengan baik berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang mendapat
pendidikan di pelbagai tempat dan digarapkan dalam cerpen yang dihasilkannya.
Cerpen yang dihasilkan oleh beliau membuka mata masyarakat untuk sedar akan
peri pentingnya sebuah perjuangan untuk mendapat kebebasan supaya tidak merasa
sakitnya ditindas oleh orang asing. Generasi sekarang juga akan mendapat
pengajaran dan mengetahui gambaran sebenar ketika negara melalui zaman
penindasan dan semangat pemuda pemudi ketika itu yang berusaha untuk menggengam
sebuah kemerdekaan melalui sebuah cerpen hasil garapan Keris Mas.
terima kasih saudari .
ReplyDeletesama-sama :)
Deleteboleh saya gunakan untuk rujukan saya nanti. terima kasih
ReplyDeleteBoleh, silakan saudara/saudari. Semoga bermanfaat :)
Delete