[Dalam
Pelukan Wanita Sedar (1947) - Keris Mas]
Latar
Belakang Keris Mas
Keris Mas atau nama penuhnya
Kamaluddin Muhamad adalah merupakan seorang tokoh dalam bidang penulisan dan
kesusasteraan yang pertama kalinya dianugerahkan gelaran ‘Sasterawan Negara’.
Beliau menerima anugerah tersebut pada 26 April 1981 di Dewan Bankuet, Bangunan
Parlimen. Kamaluddin Muhamad (Keris Mas) telah dilahirkan pada 10 Jun 1922 di
Kampung Ketari, Bentong Pahang. Dia menerima pendidikan di Sekolah Melayu
Bentong, Tawalih School, Sumatera, Kolej Kulliahtul Muallimin Al-Islamiah,
Sumatera dan Pitman College, Singapura. Dalam bidang penulisan dia juga
menggunakan nama pena Keris Mas, Aku, K.M. Kamal, Kamaluddin M. dan Mister X.
Beliau menghasilkan banyak novel dan cerpen antaranya ‘Dalam Pelukan Wanita
Sedar’. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1992 ketika usianya 70 tahun.
Sinopsis
Ringkas Cerpen
Cerpen karya Keris Mas yang bertajuk
‘Dalam Pelukan Wanita Sedar’ menceritakan kisah seorang pemuda melayu yang
menaruh hati terhadap seorang wanita yang juga tinggal di kampung yang sama
dengannya. Disebabkan terlalu mencintai wanita tersebut, pemuda itu mempunyai
suatu ‘penyakit’ yang tidak dapat disembuhkan melainkan dia menyatakan perasaan
cintanya kepada wanita terbabit. Atas nasihat kawan baik pemuda itu, dia
mengirimkan sepucuk surat kepada wanita yang dicintainya untuk menyatakan
perasaannya yang selama ini terpendam. Tetapi malangnya cinta pemuda itu
ditolak kerana wanita itu lebih mencintai bangsa dan negara disebabkan dia
berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu bersama wanita-wanita lain dalam
Angkatan Wanita Sedar. Pemuda itu akhirnya membawa diri ke Singapura untuk
mendapatkan pekerjaan selepas cintanya ditolak. Di Singapura, orang putih telah
melakukan penindasan terhadap pekerja-pekerja dan pemuda inilah yang telah
mengetuai mogok dalam cubaan untuk menghentikan penindasan ini. Setelah
mengetahui Angkatan Wanita Sedar akan berkongres di Singapura pemuda itu tidak
sabar menemui wanita yang tetap dicintainya walaupun cintanya pernah ditolak.
Namun, dia mendapat pengkhabaran bahawa wanita itu telak menarik diri daripada
perjuangan itu. Pemuda itu pun pulang ke kampung dan berjumpa dengan wanita itu
untuk megetahui sebab wanita itu menarik diri daripada persatuan tersebut.
Wanita itu menyatakan biarlah dia menjadi ‘pejuang’ di belakang pemuda itu
sebagai suri rumah tangga yang selalu menyokong perjuangan pemuda itu untuk
menentang penjajah setelah mengetahui pemuda itu mengetuai mogok tersebut
ketika di Singapura.
Cerpen yang ditulis oleh Keris Mas
ini dihasilkan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Suasana latar tempat
yang digambarkan oleh penulis menunjukkan suasana atau keadaan penduduk Tanah
Melayu yang ketika itu sibuk dan berusaha menyertai pelbagai kongres dan
persatuan untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Tidak terkecuali juga
penulis telah mengangkat peranan wanita pada ketika itu yang turut bersama kaum
lelaki memperjuangkan kemerdekaan negara. Cerpen yang dihasilkan oleh penulis
sangat dekat dengan pemuda dan pemudi pada masa tersebut kerana ia bertemakan
percintaan dan perjuangan. Seorang wanita yang terpaksa melepaskan seorang
jejaka yang dicintainya demi perjuangan yang diinginkannya iaitu terhapusnya
kelas-kelas dalam masyarakat sosial. Penulis juga menceritakan keadaan ekonomi masyarakat
melayu yang sangat miskin di kawasan pedalaman seperti di Kelantan, Terengganu
dan Pahang serta anak-anak muda yang terpaksa berhijrah ke tempat lain untuk
mendapatkan pekerjaan bagi menampung kehidupan. Turut tidak ketinggalan,
penulis menggambarkan keadaan sebenar penjajah iaitu orang putih yang
memperhambakan orang-orang yang bekerja dengan mereka sebagai kuli dan
memberikan gaji yang rendah dan tidak bersesuaian dengan kerja yang diberikan.
Penulis begitu terkesan dengan sikap penjajah yang berat sebelah dan tidak
memberikan keadilan yang sewajarnya sedangkan merekalah yang mengambil negara
orang lain secara tipu daya dan berlagak sebagai pemilik sebenar. Selain itu,
bahasa yang digunakan oleh Keris Mas sangat mudah difahami oleh seluruh lapisan
masyarakat walaupun terdapat beberapa perkataan yang digunakan daripada bahasa
melayu klasik yang mungkin sukar difahami oleh anak muda masa kini. Penulis berjaya
menghidupkan imaginasi pembaca dengan kepintaran penulis menguasai teknik-teknik
tertentu untuk menggambarkan sesuatu keadaan. Penulis juga cuba menarik
perhatian pembaca terhadap masalah ekonomi dan sosial yang dihadapi masyarakat
Tanah Melayu pada ketika itu. Secara keseluruhannya, cerpen yang dihasilkan
oleh Keris Mas telah diolah dengan baik berdasarkan pengalaman beliau sendiri
yang mendapat pendidikan di pelbagai tempat dan digarapkan dalam cerpen yang
dihasilkannya. Cerpen yang dihasilkan oleh beliau membuka mata masyarakat untuk
sedar akan peri pentingnya sebuah perjuangan untuk mendapat kebebasan supaya
tidak merasa sakitnya ditindas oleh orang asing. Generasi sekarang juga akan
mendapat pengajaran dan mengetahui gambaran sebenar ketika negara melalui zaman
penindasan dan semangat pemuda pemudi ketika itu yang berusaha untuk menggengam
sebuah kemerdekaan melalui sebuah cerpen hasil garapan Keris Mas.
No comments:
Post a Comment